Thursday, January 20, 2011

ADUN Merlimau kritikal selepas serangan jantung

ADUN Merlimau Datuk Mohamad Hidhir Abu Hassan berada dalam keadaan kritikal selepas mengalami serangan jantung sejak semalam.

Ahli parlimen Jasin Datuk Ahmad Hamzah berkata, Mohamad Hidhir, 54, kini menerima rawatan di Hospital Putra, Melaka.

Ahmad turut menafikan satu kiriman SMS berita dihantar Utusan Malaysia hari ini yang menyatakan Mohamad Hidhir telah meninggal dunia.
Beberapa orang wakil rakyat BN kini turut berada di hospital berkenaan, termasuk ketua menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam.
Mohd Ali berkata, beliau mendapati Mohamad Hidhir berada dalam keadaan koma sewaktu melawat ADUN berkenaan.
"Sewaktu menziarahi beliau sebentar tadi bersama beberapa anggota Exco negeri, beliau berada dalam keadaan koma dan bernafas menggunakan alat sokongan mesin," katanya kepada pemberita di Hospital Putra di Melaka pada petang ini.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak media agar tidak membuat spekulasi mengenai kedudukan terkini Mohamad Hidhir.
Mohd Ali berkata, terdapat laporan berita portal media mengatakan bahawa Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Pembangunan Desa negeri itu telah meninggal dunia.

Mohamad Hidhir dilaporkan dimasukkan ke hospital itu pada minggu lepas bagi menjalani pembedahan membersihkan arteri yang tersumbat pada 13 Jan lalu.

Beliau pada mulanya ke hospital itu untuk mendapat rawatan mengenai ketidak selesaan perutnya sejak kembali dari Taiwan pada 10 Januari lepas, dan ujian mendapati arterinya tersumbat.

Petikan :  MalaysiaKini    Jan 20, 11 4:10pm

No comments:

Post a Comment