SEJAK dulu hingga kini, pertanian adalag sektor yang menjadi sumber penting pendapatan rakyat di luar banar. Dengan kepelbagaian hasil yang ada di negara ini, sektor pertanian berupaya dipertingkatkan untuk memainkan peranan lebih besar dalam menajan ekonomi rakyat.
Justeru, apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengumumkan pelaksanaan program inkubator untuk melatih dan membimbing belia serta graduan menjadi usahawan tani berjaya menerusi Rancangan Malaysia ke-10, saya berpendapat ia adalah pendekatan terbaik. Ini kerana porgram ini mampu menarik lebih ramai usahawan tani muda di samping menggalakkan amalan pertanian terbaik dan menaiktaraf prasarana pertanian.
Dengan jalinan kerjasama antara Kementerian Pertanian, Industri dan Asas Tani, Kementerian Belia dan Sukan, AgroBank, Wilayah Pembangunan Koridor dan Universiti Putra Malaysia (UPM), program ini mampu dilaksanakan dengan jayanya.
Menerusi program inkubator ini, peserta dapat mengenal pasti apa yang mereka mahu ketengahkan bermula dengan skala yang kecil. Dari situ, mereka belajar untuk mengusahakan tanaman dengan bantuan daripada badan berkenaan selain mengikuti latihan yang disediakan dari semua segi termasuk perancangan perniagaan.
Semua orang punya keinginan untuk menjadi usahawan dalam pelbagai sektor, tetapi tidak punya minat yang mendalam serta pengetahuan mencukupi. Sebagai contoh, graduan universiti terutama yang mengambil jurusan pertanian. Walaupun mereka punya ilmu dalam bidang ini, ia belum tentu memberi jaminan untuk menjadi usahawan tani yang berjaya.
Ini kerana, apa yang dipelajari adalah teori semata-mata, tetapi dengan adanya program ini, ia secara tidak langsung membolehkan mereka menggunakan teori itu dan mempraktikkannya dalam sektor pertanian.
Selain itu, teori dan praktikal yang ditambah dengan minat mendalam serta bantuan daripada badan tertentu, pasti kita mampu melahirkan usahawan tani yang produktif dan meningkatkan produktiviti petani di negara ini.
Justeru, saya berharap program ini dapat mempertingkatkan produktiviti, tahap sara diri dan imbangan perdagangan. Selain itu, bilangan usahawan tani di Malaysia akan terus meningkat dengan hasil yang terbaik.
No comments:
Post a Comment